KUALA LUMPUR 6 Dis.- Para pembangkang hari ini bertindak keluar Dewan apabila tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang masih tidak mengeluarkan perintah mengenai status Datuk C. Sivarraajh (BN-Cameron Highlands).
Sidang Dewan Rakyat menjadi panas apabila para penyokong kerajaan saling bertikam lidah dengan barisan pembangkang mengenai perkara itu.
Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangkit menegaskan bahawa Ahli Parlimen Cameron Highlands itu masih mempunyai masa 14 hari untuk membuat rayuan dan layak menghadiri sidang Dewan.
Sementara itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Krian) turut mencadangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusoff membuat keputusan pada penghujung hari ini supaya Ahli Parlimen Cameron Highlands berkenaan boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat Isnin ini.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pula bangkit memberitahu bahawa Sivarraajh tetap bersalah dan tidak boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat.
“Saya bukan peguam. Tetapi saya lihat dari sudut sebagai orang biasa. Kalau kita lihat keputusan yang dibuat oleh hakim bahawa keputusan pilihan raya kerusi Cameron Highlands adalah terbatal dan tidak sah. Sementara menunggu Cameron Highlands membuat rayuan, dia tetap salah kerana memberi suapan,” ujarnya.
Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) memberitahu, penghakiman Ahli Parlimen Cameron Highlands itu ditentukan dalam masa 14 hari dan bukan selepas 14 hari.
Sehubungan itu, katanya, dia (Sivarraajh) harus dihalang daripada hadir sidang Dewan.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) pula menyifatkan perintah Mohamad Ariff dibuat selepas menjatuhkan hukuman terhadap Sivarraajh.
“Kamu sudah keluarkan Cameron Highlands. Cameron Highlands dianggap orang asing baru nak buat keputusan. Ini salah. Ini tidak betul,” kata Ismail Sabri.
Bagaimanapun, Mohammad Ariff yang cuba menenangkan sidang Dewan Rakyat dengan menasihatkan semua ahli Parlimen supaya bertenang dan bersabar sementara keputusan perundangan diperoleh berhubung perkara itu.
“Apa salahnya tunggu sebentar sementara saya buat ruling (perintah) yang komprehensif. Saya memerlukan sedikit masa untuk mengeluarkan perintah. Saya telah bercakap dengan peguam Cameron Highlands dan beliau akan berhubung dengan saya.
“Keputusan saya kekal sehingga saya buat ruling Isnin ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE
http://m.utusan.com.my/berita/nasional/pertahan-sivarraajh-pembangkang-keluar-dewan-1.800235
No comments:
Post a Comment