Thursday 23 July 2020

Wong Hon Wai bertanya soalan tentang Projek Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR)

bharian / 23 Julai 2020

Pelan cadangan Projek Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR) seluas 1,821 hektar. - Foto fail NSTP
Pelan cadangan Projek Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR) seluas 1,821 hektar. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Projek Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR) seluas 1,821 hektar sehingga kini tidak mendapat sebarang kelulusan untuk sebarang kerja dimulakan.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika mengesahkan perkara itu berkata PSR belum mendapat kelulusan kerana Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima rayuan membabitkan 185 nelayan di Sungai Batu.



Susulan itu, katanya, Ahli Lembaga Rayuan dicadangkan kepada Jabatan Peguam Negara, selaras Seksyen 36 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, untuk pertimbangan lanjut.
"PSR tidak dimulakan lagi, justeru tiada proses penangguhan seperti yang ditanya kerana tiada kelulusan.
"Sebanyak 4,600 bantahan diterima dari nelayan berhubung PSR dan perkara ini selaras Seksyen 36, iaitu apabila seseorang terkilan dengan apa-apa keputusan Ketua Pengarah di bawah Seksyen 3 dan 4 Seksyen 34(A) Laporan Impak Alam Sekitar boleh merayu.
"Lembaga Rayuan boleh, selepas mendengar Ketua Pengarah dan perayu, membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) mengenai sama ada PSR sudah ditangguhkan selepas mendapat tentangan dan rayuan daripada nelayan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, pada 18 April tahun lalu dilaporkan berkata cadangan PSR diluluskan, selepas dibentangkan kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) di Kuala Lumpur.
Persetujuan terhadap pelaksanaan PSR itu dikatakan dicapai MPFN yang dipengerusikan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan kerajaan negeri perlu mematuhi 18 nasihat.
Kepada soalan tambahan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) berhubung jaminan kerajaan untuk meneliti kelulusan PSR tanpa sentimen politik, Tuan Ibrahim memberi jaminan bahawa ia akan diperhalusi secara adil, telus dan profesional.
"Saya akui, projek ini ada potensi ekonomi yang banyak dan mampu menjana peluang pekerjaan, tetapi kementerian akan meneliti pelan pengurusan alam sekitarnya secara profesional.
"Ini kerana pada masa sama, kementerian diberikan amanah untuk jaga alam sekitar selepas kita lihat projek ini bakal mencetuskan impak berterusan, malah kesan terhadap sektor berkaitan perlu diambil kira," katanya.

No comments:

Post a Comment