Monday 8 July 2019

Pindaan RUU Perlindungan Pengguna lulus

Laman depan
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


PINDAAN Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019 yang melindungi hak serta membela nasib pengguna diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat hari ini.
Ia membabitkan pindaan bertujuan menaikkan had nilai bidang kuasa Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) daripada RM25,000 kepada RM50,000.
Selain itu ia meningkatkan hukuman kepada mana-mana yang tidak mematuhi arahan pengguna menerusi nilai penalti maksimum.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata, meningkatkan hukuman kepada mana-mana yang tidak mematuhi arahan tribunal menerusi nilai penalti maksimum.
Antara yang menyertai perbahasan adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Yazid yang mempersoalkan mengapa perlu ada nilai tuntutan tertentu dan bukannya mengikut kesesuaian kes.
“Saya setuju tapi pada masa sama tribunal di dalam akta perlu bebas dan ia perlu menepati keperluan pengguna dari segi pembuktian.
“Saya cadangkan piawaian tertentu diwujudkan untuk barangan yang mempunyai nilai yang besar seperti kosmetik dan perubatan,” katanya.
Ahli parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pindaan itu juga perlu mengambil kira pihak yang sengaja melarikan diri daripada pengesanan selepas menipu pengguna.
“Kalau syarikat A dibawa ke tribunal, mereka akan buka syarikat baru untuk menjalankan modus operandi baru. Kalau satu terdedah dan dibawa ke muka pengadilan, 99 lagi sudah bawa untung secara jahat dan kotor,” katanya.
Sementara itu, ahli parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, kerajaan perlu melihat contoh daripada negara luar bagaimana menguruskan isu perlindungan pengguna ini.
“Kita perlu lihat kepada model perundangan di luar negara untuk memberi kekuatan dan penambahbaikan kepada apa yang ada di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 8:19 PM

No comments:

Post a Comment