Tuesday, 28 September 2021

Wong Hon Wai bertanya tentang Strategi Terbaharu Untuk Meningkatkan Sekuriti Makanan

 Sinar Harian / 28 September 2021

Pengeluaran padi tempatan ditingkatkan kepada 75 peratus

Program Smart Sawah Berskala Besar dijangka mampu meningkatkan pengeluaran padi beras negara ke tahap lebih tinggi.Ronald Kiandee (Gambar Kecil)


KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengubah dasar tahap sara diri (SSL) padi negara dengan menetapkan peningkatan pengeluaran tempatan kepada 75 peratus menjelang lima hingga 10 tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, perubahan dasar itu ekoran keadaan pandemik Covid-19 yang menyebabkan sekatan sempadan negara dan kebimbangan tentang bekalan makanan dari luar.

Katanya, dasar kerajaan untuk pengeluaran padi sebelum ini sejak sekian lama adalah 70 peratus pengeluaran tempatan dan 30 peratus import.

"Beberapa langkah telah diambil oleh pihak kementerian dan kerajaan iaitu dengan mengundang penglibatan pihak swasta untuk menjadikan industri padi beras negara ini sebagai satu industri yang diperbesarkan.

"Kita jangkakan pendekatan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) yang sedang dibuat kementerian akan mampu meningkatkan pengeluaran padi beras negara ke tahap lebih tinggi berbanding SSL pada ketika ini iaitu 70 peratus pengeluaran dan 30 peratus diimport," katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat, Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) tentang strategi terbaharu untuk meningkatkan sekuriti makanan dalam makanan utama iaitu padi.

Mengulas lanjut, Ronald memberitahu, langkah-langkah itu sedang diusahakan kementerian dengan penglibatan beberapa sektor peneraju.

Katanya, sektor peneraju itu melibatkan agensi kerajaan, syarukat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta.

"Dengan bantuan semua pihak SSL padi beras akan ditingkatkan dan akan mengurangkan import dari negara luar," katanya.

https://www.sinarharian.com.my/article/163868/BERITA/Nasional/Pengeluaran-padi-tempatan-ditingkatkan-kepada-75-peratus

No comments:

Post a Comment