Wednesday, 18 November 2015

Khuatir pengecualian Malaysia dalam TPP beri kesan



#
18 NOVEMBER 2015

TPP
GEORGETOWN - Wakil rakyat DAP khuatir pengecualian Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan membawa impak negatif kepada daya saing dan kompetitif negara.

Wong Hon Wai (DAP-Air Itam) berkata terdapat banyak syarikat Amerika Syarikat (Amerika) yang melabur di Pulau Pinang dan sekiranya Malaysia tidak menjadi ahli TPP, maka produk yang hendak dieksport ke Amerika mungkin akan dikenakan cukai.

Katanya, perindustrian negara akan terhakis maka berkemungkinan menghadapi risiko kehilangan pemindahan keluar pelabur dan syarikat dari Amerika.

"Saya khuatir sekiranya Malaysia tidak menyertai TPP dan negara Asia Pasifik lain menyertainya, maka ia akan menurunkan daya saing negara kita," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata TPP akan menjadi faktor penentu sama ada pelaburan asing khususnya dari Amerika akan terus melabur di Pulau Pinang.

"Kita perlu melihat TPP dari aspek positif dan implikasinya terhadap Malaysia dan Pulau Pinang. Sekiranya Malaysia sebahagian daripada TPP, produk yang hendak dihantar balik ke Amerika akan mendapat pengecualian cukai," katanya.

Wong berkata pelabur antarabangsa seperti Intel, Altera, Dell, Motorola dan syarikat lain telah menawarkan puluhan ribu peluang pekerjaan kepada penduduk negeri.

"Saya akan meminta kerajaan negeri mengkaji sedalamnya tentang implikasi TPP terhadap pembangunan ekonomi perindustrian dan peluang pekerjaan Pulau Pinang," katanya.

TPP merupakan perjanjian perdagangan bebas serantau yang komprehensif dan mempunyai standard tinggi yang akan meningkatkan aliran pelaburan dan perdagangan antara negara-negara terlibat selain mengintegrasikan rantau ini kepada pasaran dan asas pembuatan tunggal.

Persidangan dewan bersambung esok. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/khuatir-pengecualian-malaysia-dalam-tpp-beri-kesan-1.453202

No comments:

Post a Comment