Tuesday 5 April 2016

Tidak salah guna firma guaman isteri beli banglo

FREE MALAYSIA TODAY


 | April 5, 2016


Betty Chew dan firma guamannya tidak mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahupun mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan kerajaan negeri itu

wong,betty

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak melanggar manifesto pilihan raya apabila menggunakan firma guaman isterinya dalam pembelian banglo milik beliau.


Menurut Setiausaha Politik Guan Eng, Wong Hon Wai, isteri Guan Eng, Betty Chew tidak melakukan sebarang kesalahan, kerana beliau tidak terbabit dalam sebarang perjanjian kerajaan negeri.


“Saya ingin menegaskan tiada sebarang pelanggaran manifesto pilihan raya, kerana Betty dan firma guaman di mana beliau bekerja, tidak mewakili Kerajaan Pulau Pinang mahupun mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan negeri itu.”


Hon Wai berkata demikian sebagai menjawab tuduhan Ketua Wanita GERAKAN, Hartini Tan mengenai kemungkinan firma guaman Betty dipilih bagi menguruskan pembelian banglo berharga RM2.8 juta untuk menyembunyikan sesuatu.


Susulan itu, Hartini mahu Guan Eng menjelaskan kenapa memilih firma guaman Betty dan bukannya firma guaman lain.


Menurut laporan, Betty telah meninggalkan firma guaman itu selaku rakan kongsi pada Disember lalu untuk menyertai firma guaman lain.


Sementara itu, Hon Wai menasihatkan GERAKAN mengkaji manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum lalu.


“Manifesto itu menyatakan ahli keluarga wakil rakyat yang dipilih, dilarang mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan kerajaan negeri.


“Kami turut melarang wakil rakyat terbabit mengambil bahagian dalam tender terbuka untuk tanah kerajaan.


“Kami mengotakan janji dan tidak melanggar sebarang ikrar pilihan raya kami.”


Pembelian banglo oleh Guan Eng mencetuskan kontroversi, sejak Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya memberitahu Parlimen, banglo Setiausaha Agung DAP itu dibeli pada harga lebih rendah daripada harga pasaran untuk rumah-rumah sama di sekitar Jalan Pinhorn.


Lim membeli hartanah itu pada harga RM2.8 juta berbanding kediaman lain di kawasan terbabit yang berharga sekitar RM6 juta hingga RM6.5 juta.


Pemilik banglo terdahulu, Phang Li Koon dalam satu akuan berkanun berkata, beliau rapat dengan Betty dan memutuskan untuk menjual banglo itu di bawah harga pasaran atas dasar “suka sama suka”.


Sejak itu, Guan Eng menafikan semua dakwaan berkaitan salah laku dan mendakwa beliau diserang seteru Barisan Nasional dalam cubaan untuk menutup isu dana politik RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri.


Guan Eng turut mendakwa beliau membeli banglo itu menggunakan pendapatan dan elaunnya sebagai Ahli Parlimen Bagan, ADUN Air Putih dan Ketua Menteri.


Jelasnya, beliau membayar RM700,000 sebagai bayaran pendahuluan, manakala baki RM2.1 juta dibiayai melalui pinjaman bank.


http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/04/05/tidak-salah-guna-firma-guaman-isteri-beli-banglo-setiausaha-politik-guan-eng/

No comments:

Post a Comment