| April 6, 2017
Mereka melahirkan rasa loya dengan kenyataan wakil rakyat mereka mengenai perkahwinan rogol statutori yang turut mendapat liputan media antarabangsa
BUTTERWORTH: Kira-kira 50 penunjuk perasaan di Tasek Gelugor mahu ahli Parlimen mereka, Datuk Shabudin Yahaya, dilepaskan dari semua jawatan akibat kenyataannya mengenai perkahwinan rogol statutori.
Tunjuk perasaan itu, diketuai para ketua wanita Pakatan Harapan, berlangsung selama 45 minit, dipenuhi ucapan menuntut Shabudin memohon maaf, meletak jawatan dan dipecat.
Penunjuk perasaan membawa plakad berhimpun di tempat letak kereta di Jalan Gelugor, Permatang Berangan sebelum berarak ke pasar malam berhampiran.
Pengundi yang menyertai tunjuk perasaan itu mahu Shabudin meletak jawatan. Ada juga yang mahu beliau meminta maaf.
Muhammad Zakwan Mustafa Kamal, 20, dari Permatang Berangan berkata, Shabudin harus bertanggungjawab diatas kenyataan itu.
“Kenyataan Shabudin menimbulkan kemarahan dalam kalangan wanita. Dia tak patut mengeluarkan kenyataan seperti itu. Saya cadangkan dia minta maaf.”
Thangaletchumi Ragavan, 50, dari Pokok Machang, masih terkejut dengan kenyataan Shabudin itu.
“Saya ingatkan seorang wakil rakyat berpengalaman akan memberikan jawapan yang bernas mengenai perkahwinan kanak-kanak. Pesan saya kepada Shabudin: Letak jawatan kalau masih ada maruah.”
Ketua Biro Dakwah dan Syariah Amanah Ahmad Fahmi A Bakar berkata Shabudin yang mempunyai latar belakang berkhidmat di agensi agama sepatutnya lebih arif.
Fahmi berkata dakwaan Shabudin kononnya pandangannya itu dibenarkan Islam tidak betul kerana ia berdasarkan kepada fiqh lama.
Beliau berkata Shabudin sebagai seorang pengamal syariah sepatutnya lebih berhati-hati.
“Sebagai seorang saudara seagama, saya harap kita dapatkan kepastian sebelum berkata apa-apa.”
Ketua Wanita DAP Pulau Pinang Lim Siew Khim berkata kenyataan Shabudin menyebabkan anak perempuannya yang berusia 9 tahun bertanyakan adakah benar apa yang dikatakan itu.
“Anak perempuan saya tanya mengenai perkara ini, mengenai ‘boleh kahwin’ dan sebagainya. Saya nak jawab apa?
“Kalau anak perempuan saya boleh tanya soalan sebegitu, boleh kamu bayangkan apa yang Shabudin sudah lakukan kepada negara ini? Dia sudah kelirukan anak-anak kita.”
Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Noor Zarinah Zakaria berkata konsep Shabudin mengenai ruang taubat tidak boleh diterima.
Beliau berkata ahli Parlimen itu kelihatan seperti seorang yang tidak berpendidikan memberikan penyelesaian tidak logik kepada perogol.
“Di mana kewajaran menutup rogol dengan perkahwinan? Itu perkara salah! Kami sangat malu dengan kenyataannya.”
Ketua Wanita Amanah Pulau Pinang Aida Yusof Rawa berkata Shabudin boleh mengakhiri semua kecaman ini dengan “menarik balik kenyataan dan meminta maaf”.
Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata Umno perlu memecat Shabudin, lebih cepat, lebih baik.
Wong berkata media antarabangsa turut memberi liputan ke atas kenyataan Shabudin, menyebabkan imej negara tercalar.
“Tiada maaf untuk Shabudin. Seorang wakil rakyat tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu. Kalau dia tak mahu letak jawatan, dia patut ‘kena pecat’,” katanya.
Shabudin, seorang bekas kadi daerah di Pulau Pinang, berkata di Dewan Rakyat semalam mungkin lebih baik perempuan dikahwinkan dengan perogolnya supaya dia tidak melalui masa depan yang gelap.
Mungkin perempuan itu akan berasa lebih selamat daripada ditinggalkan begitu sahaja,” kata Shabudin, dan menambah ia mungkin boleh mengubati masalah sosial.
Beliau juga dilaporkn berkata seorang perempuan yang akil baligh daripada usia 9 tahun mungkin sesuai untuk berkahwin secara rohani dan jasmani.
Susulan kecaman daripada pelbagai pihak termasuk daripada kalangan menteri Umno dan BN, Shabudin semalam berkata kenyataannya dipetik di luar konteks.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/06/pengundi-tasek-gelugor-mahu-shabudin-letak-jawatan/
No comments:
Post a Comment