Wednesday 27 April 2022

Wong Hon Wai Berkata Golongan M40 Juga Harus Dimasukkan Dalam Program Subsidi Minyak

 Utusan Malaysia / 27 April 2022

Kumpulan M40 juga wajar terima subsidi minyak bersasar


WONG HON WAI

PETALING JAYA: Golongan kelas pertengahan dan kelas pekerja dalam golongan berpendapatan sederhana (M40) harus dimasukkan dalam kategori yang bakal menerima subsidi minyak bersasar diperkenalkan kerajaan.

Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Wong Hon Wai berkata, hal itu kerana kedua-dua kelas itu menyaksikan golongan yang telah membentuk sebahagian besar populasi penduduk di negara ini.

“Tiada yang akan membantah cadangan supaya golongan miskin tegar, miskin dan golongan berpendapatan rendah (B40) dilindungi d bawah subsidi minyak bersasar ini.

“Bagaimanapun, golongan M40 juga harus dimasukkan dalam program subsidi minyak.

“Mekanisme subsidi minyak bersasar akan berdepan cabaran pelaksanaan dan terdapat tekanan inflasi untuk semua sektor ekonomi kerana pengangkutan yang menggunakan petrol sebagai bahan api utama merangkumi 16 peratus dalam pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan berkemungkinan besar akan memperkenalkan mekanisme subsidi minyak bersasar bagi menampung impak kenaikan harga minyak mentah terutama bagi kumpulan B40.

Katanya, kerajaan masih dalam peringkat merangka struktur bersesuaian yang dijangka dapat disiapkan tidak lama lagi.

Kementerian Kewangan pula dilaporkan dalam peringkat meneliti sama ada kerajaan mampu menanggung subsidi dan harga bagi petrol RON95 serta diesel dapat dikekalkan pada masa ini. -UTUSAN

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/04/kumpulan-m40-juga-wajar-terima-subsidi-minyak-bersasar/

No comments:

Post a Comment