Thursday 18 August 2022

Wong Hon Wai Berkata Kerajaan Perlu Dedah Implikasi Kewangan, Punca Dana Sambung Projek LCS

 Berita Harian / Ogos 18, 2022

'Kerajaan perlu dedah implikasi kewangan, punca dana sambung projek LCS' - Hon Wai


LCS masih dalam pembinaan ketika lawatan media ke limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS) di Lumut, Perak pada 13 Ogos lalu. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mendedahkan implikasi kewangan dan cara pendanaan untuk sambungan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) yang ditempah bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ahli Parlimen (MP) Bukit Bendera, Wong Hon Wai, berkata mekanisme pemantauan rapi oleh kerajaan terhadap penyambungan projek LCS perlu dilaksanakan segera, selain turut dipantau Parlimen melalui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Beliau berpandangan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi pertahanan dan keselamatan juga perlu ditubuhkan.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai. - FOTO FB

Merujuk laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai LCS baru-baru ini, Hon Wai berkata, kedudukan aliran tunai syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) setakat 31 Mei 2019 dilihat lemah.

Katanya, syarikat berkenaan menanggung hutang bank sebanyak RM956.89 juta, manakala hutang kepada pembekal dan pengeluar barangan tulen (OEM) pula sebanyak RM801.11 juta.

"Perolehan enam LCS dilaksanakan melalui rundingan terus dengan syarikat BNS dengan had siling asal berjumlah RM9 billion dipinda kepada RM9.13 billion.

"Saya telah membangkitkan isu ini kerana dengan jelas syarikat yang dilantik, iaitu BNS menghadapi situasi kewangan yang lemah dan tidak dapat menyambung projek terbabit melainkan dengan dana tambahan kerajaan.

"Sehingga kini, kerajaan masih tidak dapat menzahirkan kepada umum berapakah anggaran perbelanjaan tambahan yang diperlukan untuk meneruskan projek pembinaan 6 LCS ini," kata wakil rakyat DAP berkenaan dalam satu kenyataan, hari ini.

Hon Wai berkata, beliau pernah membangkitkan isu LCS dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 di Dewan Rakyat baru-baru ini mengenai dana tambahan diperlukan bagi menyambung projek terbabit, namun tiada angka spesifik diberikan.

"Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memegang 61 peratus daripada saham BNS dan mempunyai kepentingan langsung dalam perkara ini," katanya.

Hon Wai menegaskan, beliau tidak bersetuju dengan satu peruntukan dalam RUU berkenaan yang dilihatnya sebagai satu peruntukan 'penyelamat' atau 'bail out' menggunakan dana kerajaan Persekutuan terhadap projek LTAT yang gagal disempurnakan seperti projek LCS.

Katanya, LTAT adalah satu tabung untuk faedah persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak seharusnya digunakan sebagai alat untuk membiayai projek strategik kerajaan Persekutuan.

"Ia harus berfungsi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diguna untuk pelaburan strategik, bukan membabitkan diri secara terus atau melalui anak syarikat dalam projek berisiko tinggi serta mempunyai implikasi kewangan tinggi.

"Lembaga LTAT pula seharusnya dipenuhi dengan profesional dalam pelaburan, kewangan, ekonomi dan bukan menjadi satu pintu pusingan untuk ahli politik atau panglima Angkatan Tentera yang bersara," katanya.

Pada masa sama, Hon Wai berkata, veteran ATM sudah menghantar banyak memorandum mengenai tuntutan berkaitan kebajikan mereka.

"Sekiranya tiada ketirisan dan kepincangan dalam pelaksanaan projek LCS, maka wang terbabit boleh digunakan untuk memenuhi dan mempertingkatkan kebajikan veteran ATM atau dividen LTAT," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/990033/kerajaan-perlu-dedah-implikasi-kewangan-punca-dana-sambung-projek-lcs



No comments:

Post a Comment