Monday 8 August 2022

Wong Hon Wai Mengkritik Laporan Mengenai Banjir Baling Sebagai Tidak Lengkap dan Tidak Menyeluruh

 FMT /  August 08, 2022

Banjir Baling: Ahli Parlimen dakwa laporan kementerian tak lengkap

Menteri besar Kedah sebelum ini menafikan projek ladang durian di Gunung Inas menjadi punca banjir dan aliran serpihan di Baling bulan lepas. (Gamabar kementerian tenaga dan sumber asli)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP Wong Hon Wai mengkritik laporan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengenai banjir Baling sebagai tidak lengkap dan tidak menyeluruh.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, laporan berkenaan hanya menghuraikan insiden dari perspektif geologi, bukannya rekod kronologi perubahan guna tanah yang diluluskan oleh kerajaan Kedah.

“Laporan ini tidak membuat siasatan berkenaan tukar guna tanah dan pencabulan prosedur Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), pelanggaran peraturan serta undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun Hutan Simpan Gunung Inas diluluskan EIA untuk pembangunan ladang hutan, beliau berkata, penanaman pokok durian di kawasan itu tidak diluluskan oleh Jabatan Perhutanan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Wong berkata, kesan banjir terhadap penduduk Pulau Pinang juga tidak dimasukkan dalam laporan itu, walaupun bekalan air mereka terjejas selama beberapa hari.

Merujuk kepada “punca utama” dan “faktor tambahan” yang dinyatakan dalam laporan itu, beliau berkata, jelas bahawa penggunaan kawasan berbukit sebagai ladang durian menjadi punca banjir.

“Saya ingin menegaskan bencana banjir di Baling bukan berlaku secara semula jadi tetapi bencana angkara manusia yang tidak menghormati alam sekitar dan undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, Wong berkata, cadangan dalam laporan itu boleh dilaksanakan oleh kerajaan Kedah. Penting bagi negeri itu untuk mengambil langkah drastik dalam memulihkan kawasan hutan simpan yang dibalak, tegasnya.

Wong sebelum ini meminta kertas putih mengenai banjir Baling dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.

Pada 3 Ogos, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menafikan projek ladang durian di Gunung Inas menjadi punca banjir dan aliran serpihan di daerah Baling pada 4 Julai lalu yang meragut tiga nyawa.

Beliau berkata, tiada satu pun takungan untuk projek itu pecah seperti didakwa pihak tertentu.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/08/08/banjir-baling-ahli-parlimen-dakwa-laporan-kementerian-tak-lengkap/

No comments:

Post a Comment