Thursday 18 August 2022

Wong Hon Wai Berkata LTAT Tak Harus Digunakan Sebagai Alat Kerajaan Jalankan Projek Strategik

 Getaran / 18 Ogos 2022

LTAT Tak Harus Digunakan Sebagai Alat Kerajaan Jalankan Projek Strategik


KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak seharusnya digunakan sebagai alat oleh kerajaan Persekutuan untuk menjalankan projek strategik milik mereka. 

Ahli Parlimen Bukit Bendera,  Wong Hon Wai berkata, LTAT sebaliknya harus berfungsi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pelaburan strategik dan tidak melibatkan diri secara terus, atau melalui anak syarikatnya dalam projek berisiko tinggi yang mempunyai implikasi kewangan tinggi.

"LTAT seharusnya dipenuhi barisan ahli profesional dalam pelaburan, kewangan dan ekonomi, bukannya menjadi satu revolving door yang dipenuhi ahli politik atau panglima angkatan tentera sudah bersara,” katanya hari ini. 

Wong Hon Wai
Wong Hon Wai

Beliau menambah, kerajaan perlu menzahirkan implikasi kewangan untuk penyambungan enam kapal tempur pesisir (LCS) dan pendanaan (financing) untuk penyambungan projek serta sumber dana kewangan tersebut.

“Mekanisme pemantauan rapi oleh kerajaan terhadap penyambungan projek LCS serta pemantauan oleh Parlimen melalui Jawatankuasa Kira-kira Wang Parlimen (PAC) dan juga Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan perlu diadakan. 

"Malaysia telah mendapat kedudukan yang lemah iaitu D dalam Government Defence Integrity Index oleh Transparency International. Parlimen perlu melihat kepada mekanisme defence procurement (pembelian pertahanan) yang telus dan memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya. 

Jelas Hon Wai, veteran ATM telah menghantar banyak memorandum berkenaan tuntutan kebajikan mereka. 

“Sekiranya tiada ketirisan, kepincangan dalam pelaksanaan projek LCS, maka wang tersebut boleh digunakan untuk memenuhi serta mempertingkat kebajikan veteran ATM dan dividen LTAT dapat ditingkatkan setanding dengan KWSP," katanya. - Getaran, 18 Ogos 2022

https://www.getaran.my/artikel/semasa/29207/ltat-tak-harus-digunakan-sebagai-alat-kerajaan-jalankan-projek-strategik

No comments:

Post a Comment