Wednesday, 7 September 2022

Wong Hon Wai Berkata Penutupan Unilateral Satu Agensi UNHCR Akan Mempunyai Implikasi Besar Kepada Usaha Diplomatik Antarabangsa Malaysia dan Menjejaskan Nama Baik Negara Di Dunia

 Berita Harian / September 7, 2022

Cadangan menutup operasi pejabat UNHCR wajar dibawa ke Parlimen

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang menggesa Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah memberi satu kenyataan di Parlimen yang mula bersidang pada 3 Oktober ini, bagi mengulas cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup operasi pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di sini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, ini memandangkan cadangan penutupan unilateral satu agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) seperti UNHCR akan mempunyai implikasi besar kepada usaha diplomatik antarabangsa Malaysia dan menjejaskan nama baik negara di mata dunia.

"Parlimen harus dijadikan tempat untuk membahaskan dasar berkenaan pelarian serta mekanisme masa ini untuk pelarian dari segi kemanusiaan dan keselamatan negara supaya satu titik imbang boleh dicapai.

"Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya menutup secara unilateral pejabat satu agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tanpa rundingan dan dalam ketika angka pelarian dan isu pelarian masih dalam peringkat yang genting.

"Sekiranya angka pelarian sudah kurang ke tahap minimum, mungkin itu satu justifikasi untuk UNHCR beroperasi dari ibu pejabat serantau dari Bangkok," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Katanya, UNHCR mempunyai pejabat di 134 negara dan di sesetengahnya yang tidak mempunyai isu pelarian serius, kehadiran pejabat UNHCR diperlukan sebagai satu agensi antarabangsa yang menjurus kepada bantuan kemanusiaan dan koordinasi serantau.

"Saya perlu mengingatkan kerajaan bahawa Malaysia dipilih sebagai Ahli Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-bangsa Bersatu untuk penggal 2022 – 2024 dan mempunyai obligasi moral untuk mengutamakan isu hak asasi manusia dalam negara dan juga serantau," katanya.

Sementara itu, Saifuddin yang cuba dihubungi bagi mendapatkan reaksi mengenai cadangan MKN itu belum memberi sebarang respon balas setakat ini.

Media semalam melaporkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bercadang menutup pejabat Suruhanjaya Tinggi UNHCR susulan badan dunia itu seolah-olah tidak menghormati pihak kuasa tempatan dalam mengeluarkan kad agensi itu kepada 'pelarian'.

Ketua pengarah MKN, Rodzi Md Saad, berkata antara tarikan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia kerana kemudahan diperoleh dan mereka mencari perlindungan dengan UNHCR, yang mana kad dikeluarkan tanpa merujuk pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Imigresen.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/09/997424/cadangan-menutup-operasi-pejabat-unhcr-wajar-dibawa-ke-parlimen

No comments:

Post a Comment