Wednesday, 7 September 2022

Wong Hon Wai Malaysia Tidak Boleh Sewenang-wenangnya Menutup Secara Unilateral Pejabat Satu Agensi Bangsa-bangsa Bersatu Tanpa Rundingan

 FMT / September 7, 2022

Perjelas cadangan MKN tutup pejabat UNHCR, menteri luar diberitahu

Ketua Pengarah MKN, Rodzi Md Saad semalam berkata cadangan penutupan pejabat UNHCR itu sebagai usaha membaiki pengurusan pelarian tanpa campur tangan asing.

PETALING JAYA: Menteri Luar, Saifuddin Abdullah digesa memberi penjelasan mengenai cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup operasi pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada sidang Parlimen Oktober ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai berkata tindakan itu akan memberi implikasi besar kepada usaha diplomatik antarabangsa negara dan menjejaskan nama baik Malaysia di mata dunia.

“Parlimen harus dijadikan tempat untuk membahaskan dasar berkenaan pelarian serta mekanisme masa ini untuk pelarian dari segi kemanusiaan dan keselamatan negara supaya satu titik imbang boleh dicapai,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, media melaporkan MKN sedang meneliti penutupan operasi pejabat UNHCR di negara ini, dalam usaha membaiki pengurusan pelarian tanpa campur tangan asing.

Ketua Pengarah MKN, Rodzi Md Saad berkata untuk itu MKN perlu memperkukuhkan mekanisme yang dirancang dan memastikan pelaksanaan mantap, baik dan teratur sebelum disyorkan kepada kerajaan.

Bagaimanapun Rodzi berkata, penutupan itu tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat kerana agensi-agensi yang akan menguruskan perkara ini perlu diperkukuhkan.

Dalam pada itu, Wong mengingatkan kerajaan bahawa Malaysia dipilih sebagai Ahli Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-bangsa Bersatu untuk penggal 2022-2024 dan mempunyai obligasi moral untuk mengutamakan isu hak asasi manusia dalam negara dan juga serantau.

Katanya, Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya menutup secara unilateral pejabat satu agensi Bangsa-bangsa Bersatu tanpa rundingan dan dalam ketika angka pelarian dan isu pelarian masih dalam peringkat yang genting.

“Sekiranya angka pelarian sudah kurang ke tahap minimum, mungkin itu satu justifikasi untuk UNHCR beroperasi dari ibu pejabat serantau dari Bangkok.

“Bagaimanapun, UNHCR mempunyai pejabat di 134 negara di seluruh dunia dan di sesetengah negara yang tidak mempunyai isu pelarian yang serius,” katanya.

Tambahnya, kehadiran pejabat UNHCR diperlukan sebagai satu agensi antarabangsa yang menjurus kepada bantuan kemanusiaan dan koordinasi serantau.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/09/07/perjelas-cadangan-mkn-tutup-pejabat-unhcr-menteri-luar-diberitahu/

No comments:

Post a Comment