Tuesday, 5 October 2021

Wong Hon Wai bertanya Mustapa Keadaan Sekuriti Tenaga di Malaysia

 Sinar Harian / 5 October 2021

Kerajaan sedang rangka Dasar Tenaga Negara: Mustapa

Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyatakan kerajaan sedang merangka Dasar Tenaga Negara (2021-2040) bersama beberapa pihak berkepentingan.

Menurutnya, rangka itu kini sedang dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

“Dasar ini bertujuan meningkatkan daya tahan ekonomi dan jaminan bekalan tenaga, mencapai kesaksamaan dan keadilan sosial serta memastikan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang bertanyakan keadaan sekuriti tenaga di negara ini dan hala tuju untuk meningkat sekuriti tenaga negara di Dewan Negara pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerajaan melalui EPU, Jabatan Perdana Menteri, KeTSA dan agensi seperti Petroliam Nasinal Berhad (Petronas), Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sentiasa memastikan sekuriti tenaga terjamin pada setiap masa.

Katanya, jumlah bekalan tenaga di negara ini disumbangkan oleh sumber gas asli 41 peratus, minyak mentah (25.8 peratus), arang batu (22.3 peratus) serta hidro dan lain-lain sumber tenaga (6.2 peratus).

Tambahnya, negara juga berada dalam keadaan baik kerana sumber penjanaan elekrtik negara yang telah berjaya dipelbagaikan iaitu arang baru 47 peratus, gas asli (41 peratus) dan tenaga boleh baharu termasuk hidro (12 peratus).

“Selain itu, rizab margin kapasiti terpasang elektrik di semenanjung Malaysia adalah tinggi iaitu sebanyak 38 peratus.

“Kapasiti terpasang adalah kira-kira sebanyak 27,000 megawatt berbanding permintaan maksimum sebanyak kira-kira 19,000 megawatt,” jelasnya.

https://www.sinarharian.com.my/article/165187/BERITA/Nasional/Kerajaan-sedang-rangka-Dasar-Tenaga-Negara-Mustapa

No comments:

Post a Comment