MGF29092020_DATUK-SERI-MUSTAPA-DAN-PBB_07
Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak menghadapi masalah berkaitan krisis bekalan 

tenaga sebagaimana berlaku di beberapa negara lain termasuk China, Eropah 

dan India.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa 

Mohamed berkata, krisis yang berlaku di negara itu antara lain disebabkan 

peningkatan permintaan kepada gas asli bagi menghadapi musim sejuk dan

 kenaikan mendadak harga gas asli serta arang batu.

Beliau memberi contoh, harga arang batu yang pada awal tahun ini sekitar 

AS$80 satu tan sekarang telah mencecah sekitar AS$200 satu tan pada 

Oktober ini.

Menurutnya, berdasarkan definisi Agensi Tenaga Antarabangsa atau 

International Energy Agency (IEA), sekuriti tenaga bermaksud ketersediaan

 bekalan tenaga tanpa gangguan pada harga yang berpatutan.

“Sekuriti tenaga mempunyai banyak aspek. Ini termasuk keselamatan 

bekalan tenaga jangka panjang untuk menyediakan tenaga selaras dengan perkembangan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Manakala sekuriti tenaga bagi jangka pendek, merujuk kepada kemampuan 

sistem tenaga untuk segera bertindak balas terhadap perubahan mendadak 

dalam keseimbangan penawaran dan permintaan,” katanya pada sesi Waktu

Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan dari Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai (PH)

yang memintanya menyatakan keadaan sekuriti tenaga di Malaysia pada 

kala berlaku krisis tenaga global.

Menurut Mustapa, kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi, Jabatan 

Perdana Menteri, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan agensi

seperti Petronas, Suruhanjaya Tenaga, dan Tenaga Nasional Berhad sentiasa

melaksanakan langkah bersesuaian bagi memastikannya terjamin setiap masa.

Ahli Parlimen Jeli itu turut memaklumkan, jumlah bekalan tenaga di Malaysia

disumbangkan oleh 41 peratus gas asli, 25.8 peratus minyak mentah, 22.3 

peratus arang batu dan 6.2 peratus daripada hidro serta lain-lain sumber 

tenaga boleh baharu.

“Alhamdulillah, negara kita berada dalam keadaan yang baik kerana sumber 

penjanaan elektrik negara telah berjaya dipelbagaikan iaitu 47 peratus 

arang batu, 41 peratus gas asli dan 12 peratus tenaga boleh baharu termasuk 

hidro.

“Selain itu, rizab margin kapasiti terpasang elektrik di Semenanjung 

Malaysia adalah tinggi iaitu sebanyak 38 peratus, manakala kapasiti 

terpasang kira-kira 27,000 megawatt berbanding permintaan maksimum 

sebanyak 19,000 megawatt.

“Pada masa ini, UPEN, KASA dan KeTSA bersama beberapa pihak berkepentingan

 lain sedang merangka Dasar Tenaga Negara 2021 hingga 2040,” katanya.

Beliau berkata, dasar itu bertujuan meningkatkan daya tahan ekonomi dan

 jaminan bekalan tenaga, mencapai kesaksamaan dan keadilan sosial 

serta memastikan kelestarian alam sekitar. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2021/10/05/malaysia-bebas-dari-krisis-bekalan-tenaga-global-mustapa/