Bharian / Mac 02, 2022
Anggota bomba membantu menyelamatkan penduduk yang terperangkap selepas rumah dinaiki air di Kampung Paya Besar, Kuala Berang. - Foto NSTP/Ghazali KoriKUALA LUMPUR: Seramai 1,000 pelatih bomba dijangka tamat latihan Julai ini dan ditempatkan di balai bomba seluruh negara.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, berkata 1,000 pelatih Pegawai Bomba Gred KB19 melapor diri pada 7 Februari lalu di tiga Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) iaitu di Terengganu, Sabah dan Sarawak.
"Pelatih ini dijangka menamatkan Kursus Asas Kebombaan pada Julai dan proses penempatan akan dilaksanakan di balai bomba yang terbabit di seluruh negara termasuklah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Yusuf Abd Wahad (GPS-Tanjong Manis) di Dewan Rakyat, hari ini.
Yusuf ingin mengetahui sama ada jumlah aset dan anggota di BBP Tanjung Manis akan ditambah kerana sering terjadi insiden bot karam, kes serangan buaya dan kebakaran hutan di kawasan itu.
Ismail berkata BBP Tanjung Manis adalah balai bomba kategori D yang mula beroperasi 2018 dengan perjawatan seramai 28 orang anggota.
"Pada masa kini, pengisian perjawatan adalah sebanyak 22 orang dan masih berbaki enam kekosongan. Namun, kekosongan ini hanya bersifat sementara saja," katanya.
Mengenai aset tambahan untuk BBP Tanjong Manis, katanya balai itu sudah dilengkapi dengan sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Volunteer Fire Rescue Vehicle (VFRV), dua kenderaan utiliti dan sebuah bot penyelamat (aluminium).
"Buat masa ini, penyediaan jentera, kelengkapan dan peralatan bomba adalah mencukupi untuk BBP Tanjung Manis menangani sebarang kes yang membabitkan insiden kecemasan atau kebakaran termasuklah bot karam, kes serangan buaya dan kebakaran hutan.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat juga sedang dalam proses untuk memperolehi aset-aset yang baharu seperti bot penyelamat, jet ski, kenderaan pacuan empat roda, kenderaan angkut dan logistik serta lain-lain.
"Aset-aset baharu ini akan diagihkan ke balai bomba seluruh negara termasuklah BBP Tanjung Manis sekiranya keperluan adalah mendesak.
Menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai insentif untuk bomba sukarela, katanya JBPM sentiasa prihatin dengan keperluan bomba sukarela dan melaksanakan pelbagai program bagi menaik taraf kecekapan dan latihan kepada anggota berkenaan.
"Pada masa ini, seramai 382 pasukan bomba sukarela beroperasi di seluruh negara dengan 13,600 anggota," katanya.
No comments:
Post a Comment