Sunday 27 March 2022

Wong Hon Wai Meminta Pemimpin UMNO Penjelasan Sebab Tidak Hadir Ketika Sesi Pengundian

 Utusan Malaysia / 27 Mac 2022

SOSMA: UMNO tidak hadir sebab tidak sokong kerajaan?



KUALA LUMPUR: Terdapat ahli Parlimen kerajaan daripada UMNO yang tidak hadir ketika sesi pengundian usul lanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Parlimen kerana tidak mahu menyokong atau meluluskan undang-undang berkenaan.

Ahli Parlimen itu merupakan pemimpin tertinggi parti dan sangat berpengaruh, bagaimanapun, individu tersebut terpaksa mengambil ‘jalan selamat’ dengan ponteng semasa proses undian.

Hal itu kerana, jika pemimpin itu terus berada di dalam Dewan Rakyat sehingga proses undian selesai, keadaan itu akan menuntutnya untuk bersetuju dengan usul dibawakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Parlimen Bukit Bendera daripada DAP, Wong Hon Wai berkata, beliau sendiri sempat bersembang dengan pemimpin tersebut di Parlimen meminta penjelasan sebab tidak hadir ketika sesi pengundian.

Tanpa berdolak dalih, pemimpin itu memberitahu bahawa beliau enggan bersetuju dengan usul tersebut, dan satu-satunya pendekatan diambil daripada mengelakkan undi memihak kepada kerajaan adalah dengan ‘tidak hadir’ ke dalam Dewan.

“Ya, memang ada ahli Parlimen kerajaan tidak menyokong usul ini. Saya sendiri bersembang dengan beliau di koridor Parlimen dan memberitahu saya tidak menyokong usul (SOSMA) oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Hon Wai, keputusan tidak hadir juga bukanlah dibuat pada saat akhir kerana ahli-ahli Parlimen kerajaan sudah mendapat makluman dua jam lebih awal bahawa undi belah bahagian akan dilakukan.

“Sebenarnya, wakil-wakil rakyat kerajaan tahu ada undi belah bahagian. Apabila sebelum dua jam usul itu diundi lagi, mereka beritahu ada undi belah bahagi. Tidak mungkinlah seorang ahli Parlimen sahaja tahu dan yang lain tidak tahu.

“Jadi, mereka (ahli Parlimen kerajaan) bergegas pulang selepas mengetahui undi belah bahagian akan diadakan. Jadi, mereka memang tahu dan kami pembangkang memang membantah usul tersebut,” katanya.

Pada Rabu lalu, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri gagal mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa subseksyen 4(5) Akta SOSMA selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari kerana 86 ahli Parlimen tidak bersetuju berbanding 84 bersetuju manakala 50 ahli Parlimen tidak.

Pun begitu, keesokannya, keputusan undian bagi yang menyokong usul itu dipinda kepada 85 dan 49 ahli Parlimen tidak hadir setelah berlaku kekhilafan, namun ia tidak mengubah kemenangan memihak kepada pembangkang.

Daripada jumlah wakil rakyat yang tidak hadir, seramai 31 ahli Parlimen kerajaan ponteng sebelum undian dimulakan, antaranya ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (UMNO-Bagan Datuk); Datuk Seri Najib Tun Razak (UMNO-Pekan); Datuk Seri Ahmad Maslan (UMNO-Pontian); Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (UMNO-Putrajaya) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO-Kinabatangan).

Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin pula berkata, beliau sendiri mendengar pengakuan jujur dari pemimpin UMNO berkenaan.

Katanya, ia berlaku pada waktu petang selepas sahaja Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (Pindaan) 2022 bacaan kali ketiga melibatkan pengecualian pendaftaran pemilih secara automatik kepada kerabat diraja.

“Saya tidak mahu sebut siapa pemimpin ini, tetapi pastinya dia adalah pemimpin UMNO. Saya juga sendiri tanya kenapa tidak hadir, alasannya kerana tidak mahu sokong usul kerajaan,” katanya. 

https://www.utusan.com.my/nasional/2022/03/sosma-umno-tidak-hadir-sebab-tidak-sokong-kerajaan/

No comments:

Post a Comment