Tuesday, 15 March 2022

Wong Hon Wai Meminta Khairy Menyatakan Tempoh Masa Kertas Putih Dibentangkan di Parlimen

 Utusan / 15 Mac 2022

[PARLIMEN] Kertas Putih Kesihatan bentang November 2022


KHAIRY JAMALUDDIN

KUALA LUMPUR: Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentangkan di Parlimen pada November tahun ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penyediaan dokumen berkenaan akan mengambil kira hasil serta syor pelbagai kajian sistem kesihatan yang telah dilaksanakan sebelum ini, pandangan pihak berkepentingan termasuk rakyat melalui sesi libat urus.

Beliau berkata, Kertas Putih tersebut merupakan dokumen rasmi kerajaan yang menggariskan status semasa, jurang dan kekangan yang dihadapi, selain mengemukakan cadangan penyelesaian secara berfasa dari aspek reformasi penyampaian perkhidmatan, pembiayaan, tadbir urus dan organisasi merangkumi tempoh 15 tahun.

“Kementerian bercadang mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh, agar perkhidmatan kesihatan lebih saksama, berkualiti tinggi, mudah diakses dengan kos berpatutan dan mapan untuk jangka masa panjang.

“Usaha pengukuhan ini penting bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat selari dengan status Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi dan untuk masa depan,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) meminta Khairy menyatakan tempoh masa dokumen itu dibentangkan di Parlimen dan skop Kertas Putih yang sedang diusahakan kerajaan.

Sementara itu, Steven Choong Shiau Yoon (PBM-Tebrau) dalam soalan tambahannya bertanya sama ada garis panduan yang tertera dalam Kertas Putih akan dilaksanakan tanpa mengira berlaku pertukaran tampuk pimpinan kerajaan atau portfolio Menteri Kesihatan.

Khairy berkata, Kertas Putih itu adalah ‘kalis masa depan’ dan apa sahaja cadangan reformasi kesihatan awam di dalamnya mesti diteruskan.

“Sebab itu, proses ini mesti dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen supaya mencapai konsensus, hanya dengan ini, maka akan menjadi satu dokumen dan ikhtiar aspirasi dikongsi bersama tidak kira siapa kerajaan atau menteri.

“Selain itu, saya cadangkan ia bukan hanya dilaporkan pada Kabinet sahaja, tetapi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya. 

No comments:

Post a Comment