Sinar Harian / 22 Mac 2022
KPKT kaji keperluan gubal akta khusus pembaharuan semula bandar
REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji keperluan menggubal pindaan satu akta khusus bagi mengawal selia pelaksanaan pembaharuan semula bandar.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) juga sedang menggubal pindaan terhadap Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) bagi menangani isu bangunan usang khususnya melibatkan skim strata.
Menurutnya, pindaan akta di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli itu melibatkan persetujuan pemilik petak serta tatacara penamatan skim strata bagi membolehkan pembinaan semula bangunan.
"Ciri-ciri kawasan yang memerlukan pembaharuan semula ialah kawasan atau bangunan usang yang terbiar dan menimbulkan imej atau identiti bandar kurang menarik.
"Selain itu, ia turut melibatkan kawasan yang mengalami kemerosotan kualiti persekitaran, peningkatan pencemaran, kadar jenayah dan sosial serta kediaman yang sesak dan substandard selain tidak sesuai dengan keadaan semasa.
"Justeru, KPKT berpendapat memang ada keperluan menjalankan kajian terperinci dan menyeluruh mengenai kesesuaian penggubalan satu akta khusus berkenaan pembaharuan semula bandar," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai strategi KPKT memperkenalkan program dan perundangan berhubung pembangunan semula bandar bagi mengatasi isu flat usang di bandar.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, keperluan perundangan khusus adalah berdasarkan beberapa kes pembangunan semula yang berdepan kesukaran apabila membabitkan pengambilan tanah.
No comments:
Post a Comment