Tuesday 7 June 2022

Wong Hon Wai Berkata Menteri Perlu Segera Bertindak Terhadap Tuntutan Kepada Veteran Yang Tidak Menerima Faedah

 Malaysia dateline / June 7, 2022


MP gesa Hishammuddin bertindak segera dengar tuntutan veteran ATM


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein digesa untuk mendengar rintihan ratusan anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berhimpun semalam bagi menuntut pembelaan dari kerajaan.

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Jurucakap Pertahanan DAP, Wong Hon Wai berkata, menteri perlu segera bertindak terhadap tuntutan yang dikemukakan para pesara antaranya pelarasan dan pelaksanaan pencen kepada veteran yang tidak menerima faedah itu.

Pada semalam dilaporkan kira-kira 1,000 veteran ATM dari seluruh negara berkumpul di Tugu Negara bagi menyuarakan tuntutan supaya kerajaan membela kebajikan mereka.

Pengerusi bersama perhimpunan dikenali sebagai Reunion Veteran, Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar mendakwa, sudah lapan tahun pihaknya berjuang untuk menegakkan ‘hak kumpulan pesara’ namun semua tuntutan yang dibuat tidak mendapat perhatian daripada kerajaan.

Mereka turut menuntut pengampunan kepada bekas tentera yang diberhentikan kerana salah laku, pencen anggota sukarela yang dikerah sepenuh masa dan mengkaji semula pencen hilang upaya veteran.

“Sekiranya Menteri Pertahanan keberatan untuk membuat semakan, saya mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Parlimen Rentas Parti yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk menghalusi isu-isu yang dibangkitkan oleh veteran ATM dan mendengar juga maklum balas daripada pihak ATM.

“(Jawatankuasa itu juga nanti akan mendengar maklum balas daripada) Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbendaharaan serta mencadangkan penyelesaian atau pindaan terhadap undang-undang yang berbangkit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Wong menyatakan rasa kesal kerana perbelanjaan tambahan berbillion-billion ringgit oleh kerajaan dari segi perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS), sebenarnya boleh digunakan untuk mempertingkatkan kebajikan anggota ATM dan juga veteran ATM.

Walaupun Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah memeterai kontrak tambahan kelima pada 31 Mei baru-baru ini untuk menghidupkan semula projek Kapal Tempur Pesisir (LCS), namun maklumat kos tambahan tidak dizahirkan kepada awam.

https://malaysiadateline.com/mp-gesa-hishammuddin-bertindak-segera-dengar-tuntutan-veteran-atm/

No comments:

Post a Comment