Getaran / 28 Jun 2022
Pelantikan Tajuddin Sebagai Duta Ke Indonesia Dianggap Memalukan Negara, Perlu Dibatalkan
KUALA LUMPUR - Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar ke Indonesia perlu dibatalkan dan pemilihannya harus ‘ditarik balik’ kerana disifatkan memalukan Malaysia dengan beberapa kejadian yang membuktikan tokoh tersebut tidak berketerampilan diplomatik.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, pembongkaran Tajuddin berhubung kemelut dalam UMNO menerusi sidang akhbar semalam, bukan sahaja membuka mata rakyat Malaysia mengenai pergolakan politik dalam kalangan pimpinan tertinggi parti itu, malah mengaibkan negara.
Katanya, percakapan Tajuddin pada sidang ‘pendedahan’ itu dan di Parlimen sebelum ini, selain ketika beberapa insiden, membuktikan mantan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tersebut, tidak mampu memikul tugas penting sebagai duta sebaik mungkin.
“Tajudin sebelum ini menyandang jawatan Pengerusi PRASARANA dan dipecat pada Mei 2021 oleh Menteri Kewangan, susulan kejadian mengenai kemalangan terburuk LRT Kelana Jaya yang mengakibatkan 213 penumpang cedera dengan lebih daripada 60 dihantar ke hospital.
“Perdana Menteri tidak harus menggunakan jawatan awam untuk tujuan memuaskan hati penyokong beliau yang memang tidak sesuai.
“Pelantikan jawatan awam haruslah berdasarkan kelayakan, pengalaman dan personaliti bersesuaian, bukan mengikut pertimbangan politik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wong Hon Wai - Gambar dari Facebook
Hon Wai berkata, pelantikan Tajuddin sebagai duta Malaysia ke negara seberang itu belum disempurnakan, memandangkan beliau masih tidak menerima surat watikah secara rasmi dari Yang di-Pertuan Agong.
“Majlis penyerahan dijadualkan minggu lalu tetapi terpaksa dibatalkan memandangkan Baginda gering di bahagian kaki,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha PKR Batu, Yuslaini Azmi berpendapat, pembangkang tidak perlu beriya-iya mengulas isu pergolakan dalaman yang sedang dihadapi UMNO.
Menurutnya, pembangkang sendiri sedang terkapai-kapai untuk bersatu dalam gagasannya, justeru Pakatan Harapan (PH) perlu menguatkan perpaduan antara komponen parti terlebih dahulu.
“Sejujurnya pendedahan Tajuddin bukanlah perkara mengejutkan kerana sebelum ini (Datuk Seri) Mohamed Nazri Abdul Aziz pernah mendedahkan hal sama, malah selepas pendedahan tersebut apa yang terjadi (adalah) perebutan kuasa dalam kalangan UMNO makin menjadi-jadi, sehingga tercetusnya pilihan raya di Melaka, Johor dan Sabah.
“Ketika kerajaan masih lagi berantakan, kita perlu mengambil peluang ini untuk menguatkan PH bukan sebaliknya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin benar orang yang berprinsip sehingga rela ditipu berkali-kali, tetapi naratifnya agak mengecewakan kerana menerima sokongan daripada kumpulan kleptokrat walaupun anggota akar umbi menolak cadangan tersebut.
“Malah gerakan anti ‘establishment’ (penubuhan) seperti Rafizi Ramli akhirnya menang pada pemilihan parti lalu akibat percaturan kuasa yang tidak menguntungkan rakyat, termasuk imejnya (Anwar) sendiri.
“Jika benar pun Presiden PKR itu mendapat sokongan, ia bukanlah perkara dibanggakan kini kerana pada hakikatnya sehingga hari ini, beliau gagal menempatkan diri menjadi Perdana Menteri akibat ditipu. Jadi untuk ini, saya menyalahkan individu yang memberi nasihat tidak sepatutnya kepada Anwar,” katanya. – Getaran, 28 Jun 2022
No comments:
Post a Comment