Tuesday 28 June 2022

Wong Hon Wai Berkata Tajuddin Telah Membuktikan Beliau Tidak Layak Untuk Memegang Jawatan Sebagai Duta

 FMT / June 28, 2022

‘Tiada keterampilan diplomatik’, ahli Parlimen DAP gesa PM batal lantik Tajuddin sebagai duta

Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai berkata, Tajuddin Abdul Rahman membuktikan beliau tidak layak menjadi duta berikutan sidang media yang diadakan semalam serta kelakuannya di Parlimen sebelum ini..

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen DAP menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membatalkan pelantikan Tajuddin Abdul Rahman sebagai duta Malaysia ke Indonesia, dengan berkata, beliau tidak mempunyai “keterampilan diplomatik” yang diperlukan untuk tugas itu.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai berkata, Tajuddin telah membuktikan beliau tidak layak untuk memegang jawatan sebagai duta berikutan sidang media yang diadakan semalam serta kelakuannya di Parlimen sebelum ini.

“Pelantikan jawatan awam haruslah berdasarkan kelayakan, pengalaman serta personaliti yang bersesuaian, bukan berdasarkan pertimbangan politik,” katanya.

Wong berkata, perdana menteri tidak sepatutnya menggunakan kedudukannya untuk memuaskan hati individu yang menyokongnya, tetapi tidak sesuai untuk tugas itu.

Ismail sebelum ini mempertahankan pelantikan Tajuddin sebagai duta dengan berkata, ia telah diluluskan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo.

Tambahnya, Tajuddin adalah “orang politik lama dan berpengalaman”.

Pada sidang media semalam, Tajuddin mendakwa majoriti ketua bahagian Umno mahu presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatannya pada 2020.

Berikutan itu, Lembaga Disiplin Umno berkata, ia masih belum menerima laporan rasmi berhubung Tajuddin dan hanya akan bertindak selepas itu.

Pengerusinya, Zulhasnan Rafique berkata, setiausaha agung parti, Ahmad Maslan akan memaklumkan kepada lembaga mengenai sebarang tindakan tatatertib yang akan diambil terhadap pemimpin atau ahli Umno.

Minggu lepas, Tajuddin digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi Umno dalam surat yang ditandatangani oleh Ahmad dan turut mengucapkan terima kasih kepada ahli Parlimen Pasir Salak itu atas khidmat yang diberikannya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/28/tiada-keterampilan-diplomatik-ahli-parlimen-dap-gesa-pm-batal-lantik-tajuddin-sebagai-duta/

No comments:

Post a Comment